Cara Mandi Wajib Dan Mandi Junub

Dahulu kita mengupas isu apakah perbezaan antara mandi wajib dan juga mandi junub. Tapi korang dah tahu kan apa perbezaan mandi wajib dan mandi junub? Sebenarnya ia sama sahaja. Tak ada beza. Keduanya adalah mandi wajib. Kita mandi wajib sebab berjunub lah maksud yang sampaikan orang panggil mandi junub tu.

cara mandi junub

Ok, sekarang kita akan belajar bagaimana nak mandi wajib atau mandi junub ni. Cara mandi wajib dan mandi junub ini sebenarnya mudah dan ada cara-caranya yang betul perlu kita ikuti. Untuk pengetahuan anda, cara mandi wajib dan cara mandi junub ini telah diajar dalam hadis-hadis nabi yang sahih berkaitan mandi wajib dan junub ini.

Mengikut sumber Pejabat Mufti Agama Wilayah Persekutuan pula, para ulama’ meletakkan syarat fardu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  1. Niat
  2. Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  3. Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Rujuk Matan Ghoyah wa al-Taqrib: 21)

Berkaitan perbahasan niat, perbuatan berniat hendaklah dilakukan ketika membasuh basuhan pertama keatas anggota badan. Manakala berkaitan bilangan niat untuk sebab-sebab hadas yang banyak, Syeikh Hasan al-Kaf menerangkan di dalam kitabnya ini dengan menyebut:


مَسْأَلَةٌ (1): إِذَا اجْتَمَعَ عَلَيْه غُسْلَانِ وَاجِبَانِ فَأَكْثَرَ (كَالجِمَاعِ وَ خُرُوجِ المَنِيّ) فَهَلْ تَكْفِي عَنْهُمَا نِيَّةُ وَاحِدَةٌ؟

الجواب: نَعَمْ تَكْفِى نِيَّةٌ وَاحِدَةٌ لَهُمَا. وَ مِثْلُهُ فِي غُسْلِ السُنَّةِ


Maksudnya: Permasalahan 1: Jika sekiranya berkumpul dua atau lebih sebab yang menyebabkan wajib untuk mandi junub seperti jima’ dan keluar air mani contohnya, adakah memadai dengan satu niat sahaja. Jawapan: Ya, memadai dengan satu niat sahaja bagi kedua-dua sebab tersebut. Sama juga bagi mandi sunat (iaitu memadai satu niat sahaja untuk dua mandi sunat). (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 118).



Erti Mandi Wajib Dan Cara Mandi Wajib Sebenar


Pengertian mandi atau al-ghuslu (الغسل) menurut pengertian Bahasa Arab ialah:

“Mangalirkan air ke seluruh anggota tubuh badan”. ( Fath al-Bari, 1/359)


Al-Guslu (mandi) ialah: Menyempurnakan membasuh (mencuci) seluruh jasad (tubuh badan)”.(Lisanul Arab. 2/988)


Berkata Ibnu Hajar rahimahullah, dalam menjelaskan maksud mandi junub (mandi hadas besar):


“Hakikat mandi junub ialah menjirus (mengalirkan) air ke seluruh anggota tubuh  (dari hujung rambut ke hujung kaki). Sebahagian ulama mewajibkan berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung (memasukkan air ke dalam hidung) semasa mandi junub”.( Fath al-Bari. 1/359)


8 Cara Mandi Wajib Atau Mandi Junub


Berkaitan semua hadis yang ditemui tentang mandi junub Nabi SAW, kami dapat simpulkan bahawa cara-cara mandi wajib yang boleh kita ikuti dan betul adalah seperti berikut. (Sumber dari Blog addienblog)

1. Mencuci kedua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Ia dilakukan sebanyak tiga kali.

2. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri sebelum memulakan membersihkan kawasan lain.

3. Setelah mencuci kemaluannya, Nabi s.a.w menggosok tangannya ke tanah beberapa kali iaitu dua atau tiga kali.

4. Berwuduk sebagaimana anda berwuduk untuk solat. Ada kalanya mentakhirkan dari mencuci kakinya.

5. Memasukkan jari-jemari ke dalam air kemudian menyela-nyela rambut dengan kedua-dua jari-jemari tangan sehingga rata. Ratakan air pada rambut anda, setiap urat rambut harus kena air.

6. Menuangkan air ke atas kepala tiga kali, sama ada dengan menceduk dengan kedua tangan atau dengan gayung.

7. Menjirus, meratakan dan membasuh ke seluruh tubuh badan

8. Selepas mandi tidak diwajibkan berwuduk semula jika wuduk sebelum mandi tidak batal tetapi jika sekiranya batal maka wajib memperbaharui wuduknya semula.

“Dari Aisyah radiallahu anha: Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak berwuduk setelah selesai mandi junub”. ( Riwayat  Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud. 1/171. TIrmizi, 1/72)

Maka jelas di sini bahawa mandi wajib ini syarat dan pentingnya untuk kita ratakan seluruh air ke semua anggota tubuh badan kita. Pastikan mandi wajib kita sah. Untuk mandi wajib, tidak semestinya mandi lama. Mandi sekejap asalkan seluruh anggota kita rata dengan air pun boleh. Pastikan sah.

Terjawab sudah persoalan mandi wajib atau mandi junub ini. Moga bermanfaat buat anda semua. Terima kasih sudi membaca di blog saya. Moga anda semua dipermudah urusan, dilancarkan rezeki. Amiin ya rabbal alamin.

My Instagram

Designed By OddThemes | Distributed By Blogger Templates